Khamis, 10 Mac 2011

tamak dan hasat dengki

Apabila seseorang itu tamak dan cinta sangat akan segala sesuatu, maka ketamakan dan kecintaannya itu akan membutakan dan menulikannya. Nabi bersabda:”Cintamu terhadap sesuatu adalah membutakan dan menulikan”(HR Abu Daud).
Nur Basirah (cahaya mata hati) itulah yang mengenal pintu-pintu masuk syaitan. Tetapi apabila telah diliputi oleh sifat-sifat hasad dengki dan tamak, maka ia tertutup dan tidak dapat mengenalnya lagi. Ketika itu syaitan mengambil kesempatan untuk mengelabui mata manusia yang bersifat demikian agar mengikuti jalan-jalan yang mendorong ke arah nafsu syahwat.
Diriwayatkan bahawa semasa menaiki bahtera (perahu), yang membawa pengikut-pengikutnya dan pasangan-pasangan makhluk sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, Nabi Noh a.s. mendapati seorang tua yang tidak dikenalinya ada sama di bahtera itu. Beliau pun bertanya tentang tujuan orang itu. Jawab orang tersebut,”Tujuanku ialah untuk menguasai hati teman-temanmu. Tubuh badan mereka sahaja akan berada bersama-samamu, tetapi hati mereka akan bersama-samaku”. Mendengar jawapan ini, Nabi Noh  a.s. pun menghalaunya, “Turun dari bahteraku, engkau musuh Allah dan engkau dilaknati”.
Tetapi iblis berkata:”Ada lima (5) perkara yang boleh membinasakan manusia dan aku akan memberitahumu tiga (3) darinya”. Allah telah mewahyukan kepada Nabi Noh a.s. tidak perlu mendengar yang tiga (3) itu, tetapi mintalah kepdada iblis beritahu tentang dua (2) perkara yang mahu disembunyikannya. Apabila Nabi Noh a.s. meminta supaya diberitahu tentang dua (2) perkara itu sahaja, iblis pun menjawab, “Kedua-duanya itu tidak pernah mendustaiku dan tidak pernah menentang perintahku. Dengan kedua-duanyalah manusia akan binasa iaitu “Tamak” dan “Hasad”. Kerana hasad dengki, aku dilaknati dan menjadi syaitan yang direjam dan kerana tamak setelah aku menggodanya Adam telah melanggar perintah Allah supaya jangan mendekati sebatang pokok di syurga”.

Tiada ulasan: